Events
#KedaiBukuSerataDunia : SHAKESPEARE AND COMPANY (Paris, France) oleh Israr Khalid

(Foto kredit : Laman Shakespeareandcompany.com)

Oleh Israr Khalid

Asalnya kedai buku dengan nama ini dibuka pada 1919 oleh warga A.S., Sylvia Beard di Rue Dupuytren, sebelum berpindah ke Rue de l’Odeon pada 1921. Di sini, Beard menerbitkan ‘Ulysses’ karya James Joyce pada 1922.

Shakespeare and Company menjadi tempat bersanggar para bintang dunia sastera seperti Ezra Pound, F. Scott Fitzgerald, Ernest Hemingway, Gertrude Stein & ramai lagi, sebelum terpaksa ditutup ekoran penjajahan Nazi. Selepas dibebaskan dari penjara, Beard jatuh sakit & tak berupaya untuk membukanya semula.

Pada 1951, George Whitman, juga warga A.S., membuka kedai buku di Rue de la Bûcherie (di tebing Seine, bertentangan Katedral Notre Dame) dengan nama Le Mistral, sebelum melancarkannya semula sebagai Shakespeare and Company - sekaligus menggalas legasi besar yang ditinggalkan Beard.

Sosok prominen Generasi Beat seperti Allen Ginsberg, William S. Burroughs, Henry Miller & Julio Cortázar menjadi antara pengunjungnya. Mereka bukan datang untuk buku sahaja, tapi kedai buku ini menjadi sebuah utopia sosial.

Sejak hari pertamanya, para penulis, artis & intelektual dibenar untuk bermalam di Shakespeare and Company. Sebagai balasan, mereka membantu kerja-kerja di kedai untuk sejam, membuat bacaan buku & menulis biografi pendek tentang diri mereka.

Selepas kematian Whitman pada 2011, Shakespeare and Company diambil alih oleh anak perempuannya - juga bernama Sylvia (mengambil nama sempena pengasas Shakespeare and Company) , bersama pasangannya David Delannet. Mereka ditemani seekor kucing bernama ‘Aggie’ yang sering berada di kerusi kegemarannya di tingkat satu.

Mereka kemudian mengembangkan kedai buku legenda ini dengan menambah kafe, ruang kanak-kanak & kesenian yang lebih besar, serta program acara percuma setiap minggu. 

“Kedai buku ‘independent’ lebih daripada sekadar bangunan di mana buku dibeli & dijual. Ia adalah tempat penerokaan, bersanggar, sesat selama berjam-jam, mendengar penulis berbicara tentang karya mereka & berhubung dengan mereka tentangnya, menyemarakkan dialog, berkongsi cerita.

“Selagi kesemua keperluan ini masih ada - selagi manusia kekal menjadi manusia - kedai buku ‘independent’ akan terus wujud.” - Sylvia Whitman